KISAH 1 : MISTERI AIR TERJUN BATU HAMPAR PAYA LINTAH
Kawasan Perkelahan Batu Hampar Paya
Lintah terletak dalam Kampung Paya Lintah, Padang Rengas iaitu sebuah kawasan
banjaran gunung yang dikenali Banjaran Bintang dalam daerah Kuala Kangsar.
Kawasan ini juga bersebelahan dengan hutan simpan Bintang Hijau dan antara
kawasan paling lembab di Negeri Perak. Secara
umum, kawasan ini memang dikenali ramai sebagai pusat perkelahan yang menarik.
Ia adalah tempat yang kaya mengandungi kisah-kisah misteri dan khazanah alam
yang tak ternilai. Kisah-kisah misteri telah saya himpunkan sejak saya kecil
lagi yang diperoleh daripada orang-orang tua di kampung ini hinggalah sekarang.
Kisah-kisah ini kemudiannya saya analisis dan dibuat perbandingan antara cerita
lisan orang-orang tua tersebut akan persamaan yang boleh didapati dan relevan
akan sesuatu kisah yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Persoalannya,
bukan kebenaran atau logik akan sesuatu cerita yang saya cari; tetapi pola
kisah-kisah lisan di kampung ini yang diwarisi oleh orang-orang tua daripada
generasi terdahulu untuk tatapan kita semua.
Pada
pertengahan Disember 2004, maka dijalankan penggambaran Misteri Nusantara di
Batu Hampar Paya Lintah. Berbekalkan sumber cerita telah berada ditangan, dengan
memetik kisah daripada beberapa orang tertua dan cerita lisan keluarga sebelah
saya sendiri maka mudahlah dilakukan penggambaran di lokasi sesuai. Antara
intipati penting kisah misteri ialah Kisah Moyang Salli, Ketukan Batu Hujan,
Pembuatan Tali Air dan Tinggalan Tapak Binatang. Namun, banyak lagi kisah yang
tidak dapat dimasukkan dalam penggambaran lantaran sela masa bagi slot Misteri
Nusantara yang terhad. Malah lokasi penggambaran dihadkan pada lokasi Batu
Hampar peringkat pertama sahaja.
Pada jam 2 petang, krew penggambaran Misteri Nusantara tiba
ke rumah kami. Bermula kehadiran En. Hamid dan isteri sebagai pelengkap cerita,
Azman Pandak Sidek dan kami sekeluarga maka bermulalah penggambaran. Rancangan
diatur di bengkel labu sayong paya lintah kami bagi menentukan
lokasi yang sesuai dan memilih kisah misteri yang utama sahaja yang akan
diketengahkan nanti. Wartawan yang hadir ialah Mat Nasir Yusuf dan Norzahan
Abdul Rashid sebagai wartawan pelatih. Selain itu, juru kamera En Roslan dan Pn
Jamilah.
Kisah
yang amat ditonjolkan ialah Fungsi Batu Hujan. Kisah ini diwarisi oleh beberapa
keluarga sahaja di kampung ini. Maka, tidak dihairankan ada yang tertawa besar
akan kewujudannya di Air terjun Batu Hampar Paya Lintah apabila tersiar di kaca
televisyen. Menurut kisahnya, pada dahulukala apabila musim kemarau hingga
menyebabkan air sungai kekeringan. Ada orang-orang tertentu akan mengetuk Batu
Hujan ini dengan amalan tertentu. Dikisahkan, sejurus selepas itu, maka hujan
lebat akan turun di pergunungan dan kampung. Apabila diketuk, bunyinya bagaikan
mengetuk gong. Pada pendapat sekarang ia batu yang berongga di dalamnya atau
bergua.
Tidak diketahui logik akal, bagaimana ia berkait dengan
berlakunya hujan di pergunungan. Menurut sumber utama, ada mendakwa bahawa
generasi terdahulu telah membuktikan akan kebenarannya. Akan tetapi, seolah-olah
fungsinya telah tawar kini. Mungkin disebabkan tiada amalan tertentu.
Penulis berharap kita semua tidak perlu mempercayainya kerana kisah-kisah ini
hanyalah cerita dongengan semata-mata. Cuma jadikan ia, suatu cerita rakyat
setempat dalam mewarnai warisan zaman. Oleh itu, tidak perlu kita menyanggahnya,
kerana setiap cerita itu ada nilai moralnya sendiri.
Selain
itu, dicerita juga kewujudan Hantu Air. Malah di mana-mana tempat di sungai
ataupun laut dikatakan memang ada kehadirannya. En Hamid yang hadir telah
menceritakan secara terperinci kisah yang dialaminya. Bermula kedatangan saudara
terdekat dan mengajak untuk mandi dan berkelah di Batu Hampar Paya Lintah.
Secara tidak sengaja individu tersebut terpandang suatu jasad yang berjalan di
atas air. Lama beliau perhatikan tetapi tidak diceritakan pada ketika itu kepada
kumpulan yang datang berkelah tadi. Apabila sampai di rumah, barulah beliau
memberitahu akan apa yang dialaminya sebentar tadi di Air Terjun Paya Lintah.
Jadi, diharapkan tiada apa yang perlu ditakutkan ketika di Kawasan perkelahan
ini asalkan kita semua menghormati kewujudannya berlandaskan agama islam yang
dianuti. Di sini, tidak perlu bercakap besar, lupa diri kerana terlalu gembira,
menunjuk-nunjuk atau sebagainya hingga mengundang kemarahan antara makhluk
Allah.
Begitu juga dengan kisah yang diceritakan oleh seorang
pengunjung; kini menetap di Taiping. Menurut beliau, kejadian yang tidak
disangka-sangkakan itu terjadi sewaktu beliau dan keluarga berkelah di Batu
Hampar bahagian atas pada tahun 1960-an atau 1970-an, sewaktu kejadian ada
beberapa pengunjung dan kanak-kanak kampung ini sedang berkelah dan mandi.
Tiba-tiba, suatu
lemba
ga
yang amat besar timbul dari dasar kolam pada paras pinggang dan merenung
pengunjung kemudian tenggelam semula. Semua yang ada di tempat itu tergamam
seketika dan lari ke tebing sungai yang berlata. Namun, terdapat seorang budak
kampung yang seolah-olah menunjuk-nunjuk dan bercakap besar telah terjun ke
dasar kolam tersebut yang akhirnya berlaku tragedi di mana selama beberapa hari
budak tersebut tidak timbul-timbul yang akhirnya ditemui lemas di dasar kolam
sungai itu juga. Namun, lama kelamaan kisah ini seolah-olah dilenyapkan dan
dilupakan oleh generasi terdahulu. Hanya beberapa keluarga sahaja yang tahu
akannya di kampung ini.
Selanjutnya,
tentang kisah Moyang Salli. Diceritakan bahawa beliau ghaib di Batu Hampar Paya
Lintah dan hingga kini masih ada akan keberadaannya. Ada beberapa versi, ada
yang mengatakan beliau ghaib sewaktu solat, ada juga kerana pertapaan dan ada
yang menceritakan beliau ghaib lantaran bercakap besar akan kelebihannya semasa
membuat tali air. Masing-masing dengan kisah yang diwarisi dari generasi
terdahulu. Dengan dibantu oleh beberapa kundangnya, beliau dikatakan menjaga
ketenteraman sekitar Batu Hampar tersebut. Hinggakan pernah suatu ketika dahulu,
perpindahan Moyang Salli ke Gunung Bubu mengakibatkan seringnya berlaku banyak
kejadian yang tidak diingini.
Menurut sumber, Moyang Salli berasal dari Kampung Bukit
Gantang, daripada empat adik beradik iaitu Moyang Dokme @ Some, Moyang Salli,
Moyang Chad dan Moyang Limbat dan berketurunan Pattani sebelah ibu dan Bugis
sebelah bapanya. Abangnya Moyang Dokme @ Some menetap di
Kg. Kroh Hulu, Moyang Limbat terarah ke mukim Kati dan Moyang Chad ke mukim
Manong. Manakala Moyang Salli sering ke rumah abangnya di Kroh Hulu dan berulang
alik ke Batu Hampar Paya Lintah ketika itu. Moyang Salli dikatakan berkahwin
dengan anak ketua kampung Bukit Gantang ketika itu dan zuriatnya kebanyakkannya
menetap di bahagian Sayong. Hingga kini di bahagian sayong ada mendakwa
merupakan keturunan salasilah Moyang Salli termasuklah opah saya sendiri. Di
mana jika di ambil kira diri saya sebelah atuk, merupakan salasilah daripada
Moyang Dokme @ Some yang kemudiannya Anjang Sabo, Kulup Talib, Pandak Sidek (Atuk
sebelah ibu), dan ibu saya Zaleha Pandak Sidek.
Berkenaan Moyang Salli, dikisahkan bahawa suatu hari ketika di Stesyen Keretapi Bukit Gantang (telah ditutup) sewaktu berehat. Secara tiba-tiba, sebelah kaki yang teramat besar dihentakkan dihadapan beliau. Maka bergempalah ditempat beliau berehat lalu dilihat suatu jasad yang ketinggiannya lepasi paras awan. Namun, hanya beliau sahaja yang perasan kejadian tersebut lalu dipeluk kaki tersebut hingga dibawa melayang ke udara dalam jarak terlalu luas sampai ke tepi laut, pergunungan dan nampak sayup-sayup kawasan di bawahnya. Lalu dengan nada kuat, apa yang kamu mahu? Makhluk itu bertanya. Lalu setelah difikirkan, beliau meminta supaya boleh berubat orang. Maka diajar dengan satu ayat. Dengan ayat itulah beliau Moyang Salli boleh berubat orang, memiliki beberapa kelebihan dan lain-lain.
Manakala, pembuatan tali air bagi mengairi sawah padi ketika itu, ada 2 versi iaitu pertama dikatakan Moyang Salli membuat tali air dengan menggunakan tongkat lalu diguris-guris tanah di sebelah sungai hingga ke kawasan petak sawah padi di kampung ini kemudian membina empangan kecil menggunakan batang pokok pinang hanya menggunakan kudrat tangannya sahaja. Versi keduapun sama cuma ada tambahan iaitu setelah siap, perbalahan kecil berlaku antara orang kampung yang lain dan berlakulah takbur akan kelebihan akan dirinya. Ada yang mengaitkan peristiwa ini mengakibatkan Moyang Salli ghaib di Batu Hampar Paya Lintah.
Akhir sekali, tentang kewujudan tapak-tapak haiwan dan
manusia di Lata Batu Hampar Paya Lintah. Sewaktu masa dulu, kawasan ini
diceritakan berkeadaan lembik malah beralun-alun.
Keadaan ini, ada mengaitkan nasi tumpah dari periuknya bagaikan kanji menurut
kisah orang-orang tua. Apabila, Sang Kelembai lalu di kawasan tersebut maka
ditegurnya. Lalu kanji tersebut berubah menjadi batu hamparan seperti yang boleh
kita lihat sekarang. Banyak juga bekas tapak kaki haiwan dan manusia seperti
yang diperkatakan oleh orang-orang tua di mana pada pandangan kita sekarang ia
hanyalah kesan alam semulajadi seperti hakisan, luluhawa dan buatan manusia yang
mungkin secara kebetulan. Selain itu, sewaktu Sang Kelembai melalui kampung ini,
penduduk sedang menukal jagung kemudian bertempiaran lari. Ada seorang pemuda
itu tidak menyedari Sang Kelembai, lalu sedang mengambil buluh. Sedang Sang
Kelembai melalui tempat pemuda tersebut, dipotong oleh pemuda itu akan akar-akar
yang menarik pohon buluh hingga melentur ke tanah. Maka melentiklah semula akan
buluh tersebut hingga kelihatan lebih tinggi dan kuat daripada Sang Kelembai itu.
Keadaan ini membuatkan sang Kelembai ketakutan dan menyangka rupanya ada orang
yang lebih tinggi dan kuat daripada dirinya lalu segera beredar dari kampung ini.
Demikian itu, terselamatlah penduduk kampung daripada terkena sumpahan teguran
daripada Sang Kelembai. Kisah ini telah disiarkan dalam slot Misteri Nusantara
TV3 pada Isnin 17-1-2005 Sekian.
PENGHARGAAN
1. Tok Busu dari Kg. Buaia & En. Hamid Mat Wahab dari Kg. Kroh Hulu
2. Allahyaham Pandak Sidek Bin Kulup Talib & Allahyarhamah Zawiyah dari Kg. Paya Lintah
3. Allahyarhamah Wah Pe'ah dari Kg. Kroh Hulu
4. Penduduk Kg. Paya Lintah ( Mee, Along )
5. Zaleha Tok Yeh Sekeluarga
KISAH 2 : MISTERI NUSANTARA : MISTERI GUNUNG PONDOK, PDG RENGAS
Gunung Pondok sebuah gunung
batu kapur dalam kawasan Padang Rengas di Kuala Kangsar. Keadaan sedemikian rupa,
pasti mengundang persoalan bagi kalangan pengguna Lebuhraya Utara Selatan dan
jalan persekutuan Kuala Kangsar Taiping. Bagi penduduk tempatan, pelbagai kisah
misteri dan donggeng mereka alami dan warisi dari generasi ke generasi sehingga
kini. Krew Misteri Nusantara membuat segmen kisah misteri di sini.
Secara kasar pemandangan
dari pekan Padang Rengas gunung ini berupa seekor gajah. Namun, penduduk
mendakwa daripada cerita yang diwarisi ia merupakan bahtera kepunyaan yang
disumpah menjadi batu. Kini dikatakan pergunungan terbahagi kepada 3 iaitu
Gunung Pondok, Gunung Ketiak, dan Jerai. Menurut orang-orang tua, kawasan
sekitar Padang Rengas dulunya laut. Buktinya penduduk menunjukkan kami ke suatu
tempat di kaki gunung ini yang dipanggil Laut Tinggal. Jika di awal 90’an
kawasan ini masih berkeadaan baik dan berair. Apabila kejadian haiwan ternakan
seperti kerbau seringkali hilang ditelan ke dasarnya memungkinkan batu-batu
besar dan sampah dibuang oleh penduduk setempat. Akan tetapi usaha ini gagal
malah Laut Tinggal kekal masih belum boleh dikambus.
Bentuk
gajah yang dilihat ini sebenarnya kesan aktiviti kuari yang dijalankan oleh
sebuah syarikat Korea. Pelik bukan? Kenapa separuh sahaja manakala sebahagian
lagi tidak terusik. Penduduk maklum akan kisah sebenarnya apa yang misteri di
sebalik kejadian ini. Kisah ini bermula seawal aktiviti kuari dijalankan,
apabila pihak kuari gagal meletupkan batu di kawasan sebelah sini. Banyak
kejadian aneh dan ngeri yang menimpa pekerja sewaktu masa dahulu.
Apabila disiasat dan menemui orang-orang tua maka diceritakan bahawa kawasan ini di bawah jagaan jin Islam bersama 3 pertapa manakala kawasan yang boleh diletupkan itu adalah di bawah jagaan jin sebaliknya. Apa yang lebih mengejutkan lagi jikalau kawasan tersebut diratakan maka seluruh kawasan sekitar Padang Rengas akan ditenggelami air. Hal ini bakal terjadi disebabkan kewujudan perigi di dalam kawasan tersebut malah apabila perigi ini pecah, airnya yang bertekanan tinggi pada paras ketinggian ini pasti akan melimpah keluar. Ada yang mendakwa, ahli kajibumi dari Jabatan Geologi di Ipoh mengesahkan penemuan ini. Namun pendapat saya, tidak diketahui akan kebenaran cerita ini samada benar atau khabar angin.
Terdapat
beberapa rangkaian gua di dalamnya, namun hanya kawasan sebelah sini yang masih
berkeadaan baik manakala bahagian sebaliknya dikuari malah gua yang digelar batu
bersanding telah runtuh. Akan tetapi, bagi kebanyakan orang pernah suatu ketika
era awal kemerdekaan dahulu satu ekspedisi pernah dijalankan oleh beberapa orang
dari Kampung Paya Lintah, Laneh dan Kroh Hulu. Mereka ini yang ditemani seorang
bomoh ingin mengetahui apakah sebenar di dalamnya. Dikatakan asap kemenyan tidak
putus-putus dibakar bagi mengelakkan daripada tersesat di dalam rangkaian gua
atau sebarang musibah melanda. Telah dipesan dan disepakati untuk tidak
melakukan perkara sumbang, takbur, bercakap besar atau membawa pulang walau
apapun barang ke rumah. Dari ekspedisi inilah, beberapa waris terdekat
mengetahui serba sedikit kisah di dalamnya antaranya sebuah gua yang
mengandungi 2 batu bersanding yang amat menyerupai manusia, kundang menjadi batu
dalam keadaan memegang batu lembing dan beberapa pinggan mangkuk. Selain itu,
terdapat kawasan kebun cabai yang dijaga rapi dan beberapa orang yang sedang
bertapa. Namun, semua ini tinggal cerita apabila bahagian kawasan tersebut telah
runtuh dan musnah kesan aktiviti kuari.
Berkenaan pinggang mangkuk, pernah pada masa dahulu penduduk sekitar melakukan
kaedah peminjaman pinggan mangkuk di sini. Mereka ini dikatakan meminjam dari
golongan bunian bagi majlis kenduri kendara. Kisah penempatan bunian
amat diketahui penduduk di sini apabila banyak kejadian mengaitkan orang luar
dan orang tempatan dengan gunung ini. Beberapa peristiwa aneh masih segar dalam
ingatan antaranya bas sungai siput, majlis kenduri tengah malam dan dialami
sendiri oleh Allahyarham Tak Yeh yang pernah
sesat di Hutan Gunung Pondok sewaktu usia belasan tahun lalu dicerita
kepada keluarga, anak dan cucunya. Kisah sesat terjadi sewaktu Tak Yeh bersama 3
orang rakannya pergi ke hutan Gunung Pondok mencari hasil Hutan. Di dalam hutan
mereka terjumpa pokok mempelam yang lebat buahnya. Mereka memakannya sebagai
alas perut namun, berbeza dengan rakan yang lain Tak Yeh mengasingkan beberapa
buah mempelam dengan niat di hati untuk dibawa pulang untuk diberikan kepada
ibunya. Ditakdirkan sewaktu perjalanan pulang dengan menyusuri lurah hutan, Tak
Yeh teringatkan golok kesayangannya tertinggal dipohon mempelam tadi. Beliau
memaklumkan kepada rakannya lain iaitu bernama Busu supaya mereka bertiga
meneruskan perjalanan untuk pulang ke kroh hulu sementara beliau berpatah balik
bagi mengambil balik golok yang tertinggal itu. Setelah berjaya menemui semula
golok berkenaan, beliau terus pulang.
Akan tetapi tidak semudah yang disangka
apabila beliau menyedari telah sesat. Laluan mudah sewaktu nak pulang bersama
tiga orang rakannya tadi tiba-tiba bertukar menjadi laluan berhutan tebal dan
berduri. Puas menebas hutan belukar yang tebal itu dengan menuruni lurah hutan
bukit dan setiap kalinya beliau akan menjumpai sebuah batu besar yang sama.
Begitulah keadaan yang berterusan hingga keletihan dan berehat di batuan besar
tersebut.
Apabila
menyedari kejadian tersebut merupakan angkara makhluk halus maka Tak Yeh
bercakap sendirian memohon maaf sekira apa-apa kesalahan yang beliau lakukan
tanpa sedari atau sengaja dan berharap supaya dilepaskan kembali dan minta
dikasihani. Hari semakin gelap, melihatkan tiada perubahan maka Tak Yeh
mengambil keputusan untuk bermalam di batuan besar tersebut lantas memakan satu
persatu buah mempelam hingga habis yang dibawanya bagi mengalas perut. Sementara
itu, penduduk Kroh Hulu gempar apabila dimaklumkan ibu Tak Yeh bahawa anaknya
masih belum pulang. Tiga rakan karib dan
beberapa orang kampung itu mula melakukan gerakkan mencari di kawasan ini dengan
pelita lantin namun kelibat Tak Yeh gagal ditemui. Semasa tidur, Tak Yeh
bermimpi seseorang berkata kepadanya, “Lain kali cucu, jika nak makan apa-apa
buah di hutan maka makanlah tetapi jangan dibawa pulang walau sedikitpun dengan
itu cucu akan sesat jalan pulang. Ingat pesan ini, pagi nanti pulanglah mengikut
jalan yang cucu lalui tadi tapi ingat jangan menoleh kebelakang.” Keesokan
siangnya, Tak yeh melakukan seperti yang dinasihatkan di dalam mimpinya, apa
yang pelik semak belukar yang disangka tebal rupanya tidak malah kembali seperti
asal iaitu laluan mudah untuk pulang. Kini, kawasan hutan ini telah diterangi
oleh aktiviti manusia dan kesan kerja-kerja kuari. Diakui banyak kisah kejadian
sesat berlaku di pergunungan ini.
Di sinilah, sebuah bas omnibus
sungai siput diletakkan dan pemandunya sedang tidur nyenyak. Keberadaannya
menimbulkan rasa tanda tanya bagi penduduk yang lalu lalang yang kebetulan
ketika pagi itu pasar isnin berlangsung. Hal ini membuatkan seorang penduduk
berhampiran menggerakkan pemandu yang sedang tidur itu untuk bertanya apakah
gerangan keberadaannya di sini. Alangkah terkejutnya pemandu itu sedar-sedar
beliau berada di kaki gunung ini di Padang Rengas. Menurut ceritanya, beliau
ditahan dan ditumpang oleh sekumpulan orang yang baik tingkah lakunya dan
berserban meminta dihantar ke suatu
kawasan. Yang pelik, beliau menerima permintaan tersebut sungguhpun beliau dalam
perjalanan pulang setelah selesai duty pada malam itu. Bayangkan bas sungai
siput berada di kaki gunung di Padang Rengas. Dengan tergesa-gesa, beliau
memandu basnya pulang. Kisah ini pernah disiarkan dalam majalah Mastika.
Malah pernah berlaku diceritakan ( ambil keterangan Tok Din pasal orang bunian mengambil batu pedoman kapal laut di sini dari Pantai Remis )
Selain kisah tersebut, di tempat yang sama acapkali diceritakan oleh orang luar
yang melalui tempat ini dipelawa menghadiri majlis kenduri. Namun, berbeza
kerana pelawaan tersebut dilakukan pada lewat tengah malam. Seorang kenalan puan
zaleha, menceritakan kejadian yang berlaku pada lewat tengah malam sewaktu dalam
perjalanan pulang dari arah lenggong ke Taiping dengan melalui jalan pintas
Padang Rengas Lubuk Merbau. Setiba
di kawasan ini, kenderaan yang dipandu beliau sendirian kehabisan minyak.
Membingungkan perasaan tangki minyak telahpun diisi penuh sewaktu memulakan
perjalanan. Beliau keluar bagi melihat-lihat akan apa yang tidak kena. Tidak
kejauhan terlihat suatu majlis kenduri yang begitu meriah yang dihadiri kalangan
berpakaian serba putih dan berserban lalu dihampiri tuan majlis kenduri dan
dijemput penuh hormat ke majlis tersebut. Yang menimbulkan persoalan kenapa
majlis ini diadakan pada lewat malam manakala jam menunjukkan pukul 2.30 pagi.
Layanannya cukup mesra lebih dari yang diterima seperti selalu jika menghadiri
sesuatu majlis kenduri kahwin. Masakannya seperti biasa. Setelah selesai, tuan
punya majlis menghantar beliau kembali
ke kenderaan lalu beredar. Di dalam
kenderaan, beliau hairan bagaimana pula meter minyak menunjukkan masih banyak
minyak di dalam tangki. Beliau kemudian meneruskan perjalanan membawa sekali
perasaan penuh tanda tanya dan kehairanan. Namun, setelah difikir secara logik
akal membuatkan beliau ingin mendapat kepastian sebenar. Justeru, petang
keesokan harinya beliau pulang semula ke lenggong lalu singgah di kawasan
tersebut namun tiada kesan kelihatan bahawa majlis kenduri kahwin baru
dilangsungkan. Membingungkan, lalu beliau bertanyakan orang yang tinggal
berhampiran. Jawapan yang diterima mengejutkan bahawa tiada langsung majlis
perkahwinan dijalankan oleh orang kampung di kawasan tersebut malah kenduri apa
yang dilangsungkan dengan ramai orang pada jam 2.30 pagi.
Di sini juga, terdapat kejadian penduduk setempat mengalami
kejadian pelik. Seorang lelaki berusia lewat 50’an dari arah pendalaman
ditahan oleh gadis cantik belasan
t
ahun berambut panjang ingin menumpang untuk
ke pekan. Dalam perjalanan gadis ini hanya membisu lalu tidak semena-mena ghaib
di kawasan berhampiran gate keretapi Padang Rengas.
membawa kenderaannya
mengikuti dari belakang rombongan membawa jenazah tersebut kerana menurut pesan
orang-orang tua kita dilarang mendahului rombongan jenazah kerana dikatakan
nanti pendek rezeki lagipun simpang ke rumah beliau tak sampai 300 meter.
Apabila tiba di persimpangan ini, beliau barulah berasa lega setelah membelok
menghala ke rumah ibunya dan rombongan membawa keranda meneruskan perjalanan
mereka dengan lebih laju daripada sebelumnya. Setiba di rumah, beliau
bertanyakan kepada ibunya akan kejadian yang berlaku. Setelah diterangkan oleh
ibunya bahawa mana ada orang berpakaian serba kuning mengusung jenazah malah
pada waktu lewat malam begini, pemuda ini jatuh pengsan dan demam beberapa hari.
Banyak kali kejadian pelik
berlaku, ada penduduk mendakwa terlihat sebuah
objek seperti keranda terbang ke arah gunung ini. Malah suatu masa dahulu penghuni asrama madrasah yahyawiyah yang dikenali
sekolah arab pondok oleh penduduk tempatan sering diganggu khasnya buat penghuni
asrama perempuan hinggakan kejadian hesteria pada masa dahulu kerap berlaku.
Malah di bekas padang bola inilah seekor kambing gurun ditemui di perkarangan padang bola di Sekolah Menengah Tun Perak Padang Rengas. Ramai beranggapan kambing gurun ini berasal dari gunung pondok kerana sebelum itu ada kes kejadian kambing gurun jatuh dan mati ke bawah gunung ini. Malah habitat kambing gurun semakin berkurangan setelah kawasan ini dibangunkan bagi kerja kuari. Pelik bukan? Bagaimana kambing gurun yang berasal dari gunung ini boleh terperangkap dalam padang bola sekolah yang berpagar. Jika dilihat jarak yang harus ditempuhi malah terpaksa melalui petempatan penduduk pekan Padang Rengas apabila difikir secara rasional.
|
|
|
|
|
Selain
itu, penduduk sekitar Padang Rengas Kuala Kangsar pernah dikejutkan
tragedi batuan besar gunung tiba-tiba runtuh di kawasan bekas petempatan dan
sawah padi ini suatu ketika dahulu. Beberapa belas orang terkorban khususnya
para pesawah dalam tragedi nahas tersebut. Menurut pendapat sesetengah orang
terkandung kisah misteri kejadian ini. Kejadian ini berlaku ketika waktu
tengahari jumaat dalam bulan puasa. Apa yang dikatakan runtuh sebenarnya tidak,
batuan-batuan ini jatuh ke bawah seolah-olah dilontar dari lubang ini ke arah
sawah dan petempatan tersebut. Ketika itu, sawah padi diusahakan oleh penduduk
setempat di kawasan ini. Justeru, dianggap kejadian itu berlaku sebagai bala
disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh penduduk. Semoga kisah yang
dihimpunkan ini sekadar kisah misteri yang mewarnai kehidupan masyarakat di sekitar Padang
Rengas.
Kisah ini telah disiarkan dalam slot Misteri Nusantara TV3 pada Isnin 14-3-2005 Sekian.
PENGHARGAAN
1. Tok Busu dari Kg. Buaia & Allahyaham Tok Pawang Ali Kg. Stor
2. Allahyaham Pandak Sidek Bin Kulup Talib & Allahyarhamah Zawiyah dari Kg. Paya Lintah
3. Allahyarhamah Wah Pe'ah dari Kg. Kroh Hulu
4. Penduduk Kg. Paya Lintah ( Mee, Boyak, Angah, Along dan Bedul ) & Kg. Pondok
5. Jamaluddin Ngah Abdul Rashid dari Kg. Pondok dan Ustaz Kamal dari Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas
6. Zaleha Tok Yeh Sekeluarga
KISAH 3 : MISTERI NUSANTARA : MISTERI PAYA LINTAH , PDG RENGAS
Orang luar yang pernah melalui perkampungan ini mungkin mengenalinya sebagai sebuah perkampungan yang ada mengusahakan kraf Labu Sayong dan tempat perkelahan air terjun Batu Hampar yang menarik. Changkat Ponggeng sebuah gunung batu kapur dalam kawasan Kampung Paya Lintah dan Kampung Laneh di Kuala Kangsar. Nama ponggeng diberi kerana kedudukan gunung ini tidak bersambung dengan banjaran gunung yang lain. Ponggeng sebuah kata lama loghat di kawasan ini yang bererti “tunggal”. Kedua-dua perkampungan ini mempunyai versi cerita yang tersendiri berdasarkan kisah yang diperturunkan oleh leluhur sebelumnya.
|
|
|
|
|
Menurut
orang-orang tua, Moyang Dokme @ Some adalah abang kepada Moyang Salli iaitu
penguasa di Air Terjun Batu Hampar Paya Lintah sebuah kawasan perkelahan air
terjun dalam kawasan perkampungan ini. Mereka berdua ini sebenarnya daripada 4
beradik berasal dari Bukit Gantang iaitu Dokme @ Some, Salli, Chat dan Limbat
yang berhijrah ke kawasan Padang Rengas dan Kuala Kangsar sekitar tahun
1850’an . Seperti kehilangan wanita ini, Moyang Salli juga dikatakan ghaib.
Kisah Moyang Salli ini pernah disiarkan dalam Misteri Nusantara pada pertengahan
bulan januari yang lepas.
|
|
Seperkara lagi, dipertengahan perkampungan Paya Lintah khususnya tanah warisan keturunan Jektah ditegah daripada membuat sebarang binaan. Berdasarkan kisah yang diterima oleh keluarga Rafeah Tak Yeh, laluan ini merupakan laluan penting bagi makhluk halus yang berulang alik antara Batu Hampar Paya Lintah dengan Gunung Changkat Ponggeng. Maka kanak-kanak terutama sekali cucunya amat ditegah bermain di halaman rumah pada waktu senja. Pernah terjadi salah seorang cucunya berusia 10 tahun disepak oleh makhluk halus hinggakan kesannya bermuka senget. Setelah diubati secara perubatan tradisional oleh opah saudara di Kg. Kroh Hulu, mangsa kembali sembuh sediakala setelah meminta maaf. Puncanya kerana mangsa tak sengaja terlanggar anak orang halus hingga menangis ketika bermain di waktu senja dengan adik bongsunya hingga mengakibatkan si ibu makhluk halus ini marah lalu memukul di bahagian pipi mangsa. Justeru, sejak dahulu lagi laluan ini ditegah dibina sebarang binaan seperti rumah atau pondok kerana dikatakan secara terus menerus ahli di dalam rumah tersebut akan acapkali mendapat sakit demam @ istilah kampung tertegur oleh makhluk halus ini kerana tapak tersebut merupakan laluan penting makhluk berkenaan. Ada yang mengatakan ia juga laluan Hantu Tinggi. Kesannya kepercayaan ini, bahagian asal rumah ini sewaktu di awal pembinaannya pada tahun 1985 ditegah oleh orang-orang tua iaitu jiran terdekat dengan mengarahkan dialihkan pembinaannya di sebelah sana suatu bekas tapak rumah Tok Bidan .
Kejadian
pelik berlaku kerana dahulunya sering kedengaran kuat bunyi riang-riang di dalam
rumah ini. Suatu hari, shahril menjirus air secara kuat ke arah bunyi tersebut
dengan didahului bacaan “salamun ala sulaiman na fil alamin. Dan kola musa
hingga akhir”. Senyap terus. Keesokkan hari nya adiknya shah menegur abangnya
kenapa dia yang bermimpi walhal perbuatan menjirus air itu dilakukan oleh
abangnya. Dalam mimpi, sewaktu bangun dan membuka pintu tercegat seorang tua
berjubah putih berkeadaan samar-samar berkata “Kenapa jirus aku…..” terus
terjaga.
Menurut cerita penduduk Kampung Laneh pula, gunung ini kawasan jagaan Moyang Api. Kisahnya begini sewaktu mengusung jenazahnya oleh orang-orang kampung diceritakan jenazahnya tiba-tiba hilang sewaktu perjalanan ke perkuburan. Apabila melihatkan kejadian ini berlaku setelah habis ikhtiar maka penduduk ketika itu mengambil keputusan untuk mengkebumikan keranda kosong untuk dijadikan tanda. Malah hingga ke hari ini, masih lagi segelintir penduduk mendakwa ada sekali sekala terlihat orang tua yang tidak dikenali sedang mengambil air sembahyang di sungai ini. Malah di pergunungan ini pernah diceritakan aktiviti peminjaman pinggan mangkuk bagi kenduri kendara dilakukan oleh para penduduk kampung.
Selain
itu,
lekukan batu besar yang dikenali sebagai Batu Lebah dapat dilihat di kedua-dua
perkampungan. Berdasarkan cerita orang-orang tua dahulu serta pengalaman dan
pengamatan mereka, kejadian batu-batu kecil jatuh sering kali menandakan akan
ada berlakunya kematian. Jika dahulu didakwa memang benar akan terjadi namun
dari hari ke hari ia tidak semasin dahulu atau dikatakan tempat ini telah tawar.
Malah semua kepercayaan ini semakin luntur kepada generasi sekarang yang tinggal
berupa cerita lisan yang disampaikan oleh generasi ke generasi. Tidak diketahui
kebenarannya, mungkin secara kebetulan malah kita semua sebagai makhluk ciptaan
Allah tidak mengetahui sedikitpun perkara ghaib yang hanya Allah yang Maha
Mengetahui.
Kisah ini telah disiarkan dalam slot Misteri Nusantara TV3 pada Isnin 28-3-2005 Sekian.
PENGHARGAAN
1. Tok Busu dari Kg. Buaia & Tok Sharifman Kulop Jerais dari Kg. Paya Lintah
2. Allahyaham Pandak Sidek Bin Kulup Talib & Allahyarhamah Zawiyah dari Kg. Paya Lintah
3. Allahyarhamah Wah Pe'ah dari Kg. Kroh Hulu
4. Penduduk Kg. Paya Lintah ( Mee, Boyak, Angah, Along dan Bedul ) & Kg. Laneh
5. Zaleha Tok Yeh Sekeluarga
[ Pengenalan ] [ Katalog ] [ Produk Kraftangan ] [ Lokasi ] [ Customer Services ][ Lain-lain ]
Lawatan Majalah 3 dan Tiga Kisah Misteri Nusantara di Bengkel Labu Sayong Kami
Hebahan dan Peringatan Untuk Tempahan Lawatan Ke Halaman Utama Kembali
Untuk maklumat lanjut sila hubungi di talian ( Rumah 605-7583093 ) atau ( Shahril 6012-4595687 || 6017-7889494 ) atau di alamat No.141, Kampung Paya Lintah, 33700 Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Malaysia